Politik Hafsah Harun

Beliau merupakan wanita kedua dari Sarawak yang menjadi pemimpin politik pascapembentukan Malaysia, selepas Datuk Ajibah Abol[2]. Beliau mula aktif dalam politik dengan menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang ketika itu bersama dalam gabungan Barisan Nasional. Beliau merupakan pengerusi kedua Pergerakan Wanita PBB (1975-1987). Setelah hampir 11 tahun bersama PBB, beliau bertindak keluar parti pada 1987 selepas berlaku konflik politik di negeri tersebut. Beliau aktif dalam sebuah parti pembangkang di Sarawak iaitu Parti Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) pada 1987 dan jawatan terakhirnya sebelum parti tersebut dibubarkan ialah Naib Presiden. Pada tahun 2003, beliau menjadi antara pengasas bersama Parti Keadilan Rakyat[3] sebagai Naib Presiden (Sarawak) selain pernah menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak. Kini beliau merupakan Penasihat PKR Sarawak[4][5].

Pilihan raya

Nama beliau mula dikenali apabila menjadi calon BN-PBB dalam Pilihan raya Kecil DUN Semariang 1976 yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ajibah Abol. Dalam pilihan raya berkenaan, beliau menang dan menjadi ADUN Semariang sehingga 1978. Kemudian beliau menjadi calon BN-PBB dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 1979 dan menang sebagai ADUN Petra Jaya untuk penggal pertama (1979-1983). Beliau sekali lagi menjadi ADUN Petra Jaya untuk penggal kedua (1983-1987) selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 1983 sebagai calon BN-PBB menentang Mohd Fauzi Bolhassan (Bebas) dan Eden Abdullah (BERSATU). Hafsah menang dengan undian 6,107manakala Mohd Fauzi menerima 1,265 undi dan Eden mendapat 544 undi. Beliau turut bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 1987 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak 1990 atas tiket PERMAS di DUN Petra Jaya, tetapi tewas kepada Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi (BN-PBB) di kedua-dua pertandingan. Pada pilihan raya negeri Sarawak 1987, Hafsah mendapat 2,696 undi berbanding 6,006 undi yang diperolehi oleh Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi.